RSS

Hargai keistimewaanku..







Hargai keistimewaanku..

Saya selalu mengelak berada dikelompok golongan OKU. Apabila terserempak dengan golongan ini, saya akan cuba menjauhkan diri. Malah, jika saya terpandang dengan cara yang tidak sengaja, cepat-cepat saya mengalihkan pandangan kearah lain. Bukan kerana membenci, tetapi saya tidak sanggup menyelami penderitaan dan kekurangan mereka. Barangkali kerana saya sebahagian dari mereka juga.
Pagi Sabtu, suara hati meminta saya menyertai program HARGAI KEISTIMEWAANKU . Bersukarela atas tiket Yayasan Salam, menjana perubahan yang amat bermakna dalam diri saya. Program seawal jam 7 pagi, buat saya risau jika saya terbangun lewat. Sempat saya berpesan kepada teman serumah supaya mengejutkan saya sebelum azan Subuh. Alhamdulillah ringan kepala saya bangun awal pagi. Jam 6.20 pagi saya merendah embun subuh menuju ke Yayasan Salam. Jarak dari Puncak Alam ke Yayasan Salam, sememangnya agak jauh, memakan masa antara 40 minit hingga 60 minit.Dari Yayasan Salam, kami bergerak secara ‘car pool ' ke PDK Selayang.
Tidak banyak saya bantu sepanjang program ini berlangsung. Lebih banyak memerhati dan menjadi kaku merenung anak-anak istimewa yang pelbagai ragam.Ini adalah kerana, kali pertama saya terlibat secara langsung dengan golongan ini.Saya sudah lama membiasakan diri hidup tengah-tengah masyarakat normal. Menerima apa sahaja persepsi dan mentaliti masyarakat terhadap apa jua kekurangan saya dengan hati yang redha..Si cilik yang Down Syndrome , secara tiba-tiba melambai tangan kearah saya, dan kemudian menepuk-nepuk kerusi di sebelahnya meminta saya duduk. Saya tergaman dan kaku seketika. Sehinggalah, Yus teman sukarelawan ,menegur saya meminta saya memenuhi permintaan si cilik. Sewaktu saya duduk di sebelah, si cilik mencium pipi saya, membuatkan saya terkesima…Istimewanya dia, kerana naluri kasih sayang yang dia tunjukkan..




Hidup penuh semangat…



Sewaktu aktiviti Music Chair, saya terpandang kanak-kanak lelaki istimewa yang ketawa tanpa suara, tetapi penuh semangat melihat rakan-rakanya seusia riang bermain. Saya yakin, jauh di sudut hatinya ingin bangkit dari kerusi roda yang menjadi temannya seumur hidup. Saya pasti, jauh dilubuk sanubarinya ingin benar mengerakkan kakinya yang hilang upaya dan menterjemahkan perasaan gembiranya dengan suara yang boleh difahami orang lain.. Sepanjang program ini berlangsung, saya sentiasa memandang gelagat anak-anak istimewa ini tanpa berusaha mendekati mereka..Kerana saya takut, andainya sewaktu tangan saya membelai mereka, air mata saya tumpah….
Si cilik yang comel, mengoyangkan jari telunjuknya sambil bibir mungil menyebut “ no..no..” apabila saya mengusik hendak mengambil makanannya..Si kanak-kanak istimewa yang saya cuba bantu suapkan minuman tetapi air itu tumpah membasahi bajunya kerana saya tidak tahu bagaimana cara hendak menyuapkan minuman tersebut..Saya pasti dia sedang dahaga, tetapi tiada suara yang keluar untuk menyatakan perasaannya dan keinginanya. ..Saya lihat semangat untuk mereka meneruskan kesinambungan hidup dengan perasaan kagum. Saya melihat hidup mereka yang penuh semangat, walau mereka dalam dunia yang amat berbeza.. Saya tidak nampak mereka berputus asa, sekalipun mereka merupakan ujian yang amat besar terhadap insan sekeliling,khususnya ibu dan ayah ..Saya tidak nampak mereka menyesali takdir hidup, sekalipun, mereka mungkin memberi beban kepada insan sekeliling…

Masih ada yang sayang..

Saya lihat teman seangkatan berusaha memberi kasih sayang sepenuh hati.. Ia buat saya kagum, dengan usaha murni yang rakan-rakan terjemahkan melalui program ini. Saya hidup dikelilingi insan normal, yakni, insan yang lengkap sifat fizikal dan sempurna pancaindera.. Saya sudah biasa dengan golongan masyarakat normal.. Dalam organisasi yang rata-ratanya terdiri daripada insan normal, semestinya saya berdepan dengan pelbagai kerenah , sifat dan perwatakan.. Sesekali saya diburu pelbagai masalah dan cabaran dalam organisasi membuatkan tekanan hidup menjadi sebahagian cabaran yang harus saya tempuhi. ..Setiap kali saya menyertai aktiviti sukarelawan, saya mampu melupakan sejenak, beban tugas di tempat kerja..Akhirnya saya sedar, bahawa aktiviti sukarelawan bukan sahaja sebahagian kepuasan hidup yang saya cari, tetapi menjadi kaedah terbaik untuk saya menyembuhkan tekanan bekerja..Menjadi kaedah terbaik untuk saya melepaskan segala beban dalam kerjaya saya..

Semoga mereka menjadi insan hebat..sehebat saintis ulung Stephen Hawking.. yang kaku dikerusi roda, tapi masih mampu memberi sumbangan besar kepada seluruh umat manusia..
Selesai aktiviti, di dalam kereta saya masih terbayang-bayang wajah anak-anak istimewa itu .Jauh di sudut hati, saya mengakui kebenaran kata-kata emak, yang saya sering nafikan, bahawa jika saya merasakan diri saya penuh kekurangan dan hidup saya pincang, sebenarnya masih ada insan lebih tidak bernasib baik dan penuh kekurangan...